Sesetengah orang, peluh ini tak jadi isu. Sebab ketiak mereka jenis kurang bau. Tapi spesis yang kuat makan kari ini, anda faham-faham sahajalah. Bau ketiak dia mula menyengat hingga tersebar satu pejabat sampai makcik cleaner ingat ada tandas yang tersumbat.

Alah, anda jangan gelakkan orang. Lelaki perempuan lebih kurang.

Satu fakta yang anda kena tahu, walaupun perempuan memiliki kelenjar peluh 75 peratus lebih banyak daripada lelaki, namun kelenjar peluh lelaki menghasilkan lebih banyak keringat berbanding perempuan.

Sebab itu bila lelaki berpeluh, ramai perempuan mengeluh. Haha.

Sebenarnya, ada cara mudah mahu hilangkan bau tengik ketiak ini. Saya kongsikan 6 perkara yang perlu dihindari dan 7 perkara yang perlu diamalkan supaya ketiak kita wangi.

1. Elak makan makanan berempah

Masakan berempah macam kari, kurma dan nasi beriyani. Ini kerana, bumbu yang digunakan seperti jintan putih dan halba akan menyebabkan ketiak berbau kuat.

2. Elak makan daging proses dan kurangkan pengambilan daging merah

Daging asalnya berkhasiat untuk badan namun jika diambil berlebihan akan buat badan kita bekerja lebih keras untuk memprosesnya lalu bertindak balas dengan mengeluarkan lebih banyak peluh.

3. Elak makan makanan rapu

Seperti aiskrim, gula-gula, keropok, jeruk dan coklat. Makanan yang tidak bernutrisi ini sukar dicerna badan dan akan terperap lama di dalam saluran penghadaman kita lalu menghasilkan bau peluh yang hangit.

4. Elak makan bawang putih dan bawang merah

Kandungan enzim Allicin yang terdapat di dalam bebawang ini menjadi penyumbang kepada bau bacin ketiak apabila bercampur dengan peluh.

5. Elak merokok atau berhenti terus

Nikotin yang terkandung dalam tembakau yang diserap oleh peparu akan diangkut cepat ke dalam aliran darah lalu diedarkan ke seluruh badan. Bila zat racun ini bercampur dengan unsur-unsur kimia lain dalam badan, ia akan menyebabkan ketiak masam!

6. Jauhi arak

Ia bukan sahaja haram diminum malah kandungan alkohol yang terdapat di dalamnya akan menyebabkan sistem jasad menganggap ia sebagai toksin dan cuba menguraikannya kepada asid asetik. Kira-kira hanya 90% alkohol sahaja yang dapat dimetabolisekan oleh badan. Selebihnya akan dikumuhkan melalui air kencing, sistem pernafasan dan peluh. Dan racun inilah punca ketiak berbau busuk tahap longkang.

7. Banyakkan bersenam

Amalkan aktiviti sihat ini sekurang-kurangnya 150 minit seminggu. Melalui cara ini, toksin yang menjadi penyebab bau ketiak boleh disingkirkan daripada badan.

8. Cukur bulu ketiak

Pada awal tahun 1950-an, para saintis membuat kajian dan mendapati bakteria yang berkampung di dalam rimbunan bulu ketiak adalah sebab utama ketiak berbau.

9. Sediakan satu deodoran khas

Samada dari jenis antiperspirant (bantu mengurangkan penghasilan peluh) atau jenis antibakteria (bantu membunuh bakteria yang menyebabkan ketiak berbau). Tak kisah jenama apa. Bawa deodoran ini kemana sahaja anda pergi. Bila ketiak sudah naik bau, calitkan sahaja. Selesai.

10. Perbanyakkan minum air masak

Minum sekurang-kurangnya 8 gelas sehari. Elakkan minuman berkafein macam kopi, teh, cokelat dan minuman bersoda. Minuman bersifat diuretik seperti ini sebenarnya mengaktifkan kelenjar peluh.

11. Kerap mandi

Mandi sekurang-kurangnya 3 kali sehari. Gunakan sabun antiseptik dan gonyoh lebih sedikit pada ketiak. Ini dapat membunuh bakteria dari keturunan Staphylococci dan Corynebacteria pada bahagian tersebut.

12. Sentiasa pakai pakaian yang bersih

Elak guna pakaian yang sama berulang kali tanpa mencucinya. Pakaian bersih tidak menggalakkan pembiakan bakteria jahat.

13. Pilih pakaian daripada jenis fabrik yang menyerap peluh

Contohnya, pakaian yang berasaskan kain Cotton. Dan ini ada satu kajian sains yang menarik tentang fabrik tersebut.

Seorang ahli pengkaji mikrobiologi Eropah iaitu Chris Callewaert bersama ahli kumpulannya telah membuat satu kajian perbandingan antara fabrik Cotton dan fabrik Polyester yang digunakan oleh para ahli gimnasium disana semasa bersenam.

Hasil kajian mereka mendapati fabrik Cotton lebih menyerap peluh, lebih memerangkap bau badan dan ketiak, dan mampu mengurangkan pembiakan bakteria Micrococci yang menjadi punca ketiak berbau berbanding kain Polyester. Menakjubkan bukan?

Jadi, tak usah pening kepala lagi selepas ini. Amalkan tip-tip yang saya kongsikan ini, Insyaallah bau ketiak anda tidak lagi jadi bahan usikan kawan-kawan.

Kalau ada tip tambahan, ayuh lontarkan komen di bawah.

Muhammad Arif Aizuddin
Presiden Penghapus Ketiak Masam (Pekasam)

 

Kredit Foto : Scmp.com, Todayisawgod.org

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *