Ada seorang tukang kayu yang miskin tinggal di dalam hutan bersama isterinya. Rumah mereka dibina sendiri daripada batang kayu dan beratap nipah. Sungguh daif dan usang.

Tukang kayu ini ada sebilah kapak. Dan kapak inilah satu-satunya harta yang dia miliki. Dengan kapak itulah dia mencari rezeki untuk menyara kehidupan keluarganya.

Kerja sebagai tukang kayu tak pernah cukup. Ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Selalu saja dia mengeluh nasib hidup. Satu hari, dia mengangkat tangan kepada Tuhan. Berdoa supaya dijadikan seorang kaya harta.

Ya Allah, kau jadikanlah aku orang kaya!

Doa ini diulang-ulang saban hari. Barangkali sudah jemu hidup susah, dia kepingin sekali hidup mewah.

Nak dijadikan cerita, suatu hari, ada seorang lelaki tua hartawan berada dalam keadaan nazak. Merasakan ajalnya makin dekat, dia menitipkan pesanan akhir kepada isterinya yang dicintai.

Sayangku, umurku sudah tak panjang. Kelak bila aku mati, temani aku di dalam kubur selama 40 hari 40 malam dan kau akan mendapatkan separuh daripada harta yang aku tinggalkan sebagai ganjaran.

Bukan main terkejut kepalang si isteri dengan permintaan suaminya. Lalu ditolak mentah-mentah lantaran merasakan ia kerja gila.

Kemudian, lelaki itu memanggil pula anaknya yang dikasihi dan menitip pesanan yang sama. Anaknya menolak dan mengatakan perbuatan itu sungguh tak masuk akal.

Berita perihal hajat pelik si tua yang kaya ini tersebar ke pengetahuan orang ramai. Lalu ia sampai ke telinga isteri tukang kayu yang miskin.

Si isteri tersebut mendesak suaminya agar merebut tawaran itu. Yalah, dengan hanya menemani mayat si mati di dalam kubur selama 40 hari sudah boleh mendapatkan habuan lumayan.

Dengan hati berat, akhirnya dia pergi bertemu hartawan tersebut dan membuat perjanjian.

Selang beberapa waktu, hartawan itu pun meninggal dunia. Maka, bermulalah tugas si tukang kayu menemani mayatnya di dalam kubur.

Selepas orang ramai beredar dari tempat pengebumian, tukang kayu itu baring di sebelah mayat. Dalam keadaan gelap, dia termenung sendirian.

Gerun Disoal Malaikat Kubur, Lelaki Ini Serik Mahu Kaya. Cukuplah Hanya Sebilah Kapak!

Tiba-tiba, dia dikejutkan dengan tempikan suara yang kuat bak halilintar. Di hadapannya, muncul dua orang malaikat Munkar dan Nakir dengan rupa yang begitu menggerunkan. Lalu si tukang kayu disoal tentang satu-satunya harta yang dia miliki iaitu sebilah kapak.

Harta apakah yang kau miliki?

Dari mana kau dapat kapak itu?

Bagaimana cara kau mendapatkannya?

Dari mana datang duit membeli kapak?

Daripada siapa kau membelinya?

Kemana kau gunakan kapak itu?

Kemana kau belanja duit hasil pertukangan?

Begitu banyak soalan yang dihunjamkan kepada si tukang kayu sehingga sepurnama lamanya. Dalam keadaan resah gelisah yang amat, dia menjawab satu persatu soalan yang ditujukan.

Tiba hari terakhir, maka orang ramai pun bertungkus lumus menggali semula kubur itu dan membawa tukang kayu keluar. Dengan wajah yang amat pucat dan takut, lelaki ini bangkit berdiri dalam keadaan terketar-ketar seolah mengalami peristiwa aneh yang sangat menakutkan.

Anak kepada hartawan itu datang kepada si tukang kayu demi memenuhi janji bapanya. Ketika hendak menyerahkan separuh harta kekayaan tersebut, tukang kayu itu berkata dengan nada gementar,

Cukuplah dengan hanya sebilah kapak yang aku miliki, tak putus-putus aku ditanya oleh malaikat dengan begitu banyak soalan sampai 40 hari lamanya. Kalau aku miliki separuh harta kekayaan bapa kau, maka lagi banyaklah soalan yang perlu aku jawab di hadapan malaikat kubur nanti. Kau ambil sajalah harta itu!

Tukang kayu itu berlari meninggalkan anak hartawan tersebut tanpa mengambil sedikit pun ganjarannya.

Ha, anda mungkin fikir kisah ini cuma rekaan. Cerita ini disampaikan sendiri oleh Ustaz Syed Amru Syed Abdullah berdasarkan hikayat yang dikarang para ulama’ di dalam kitab. Kami hanya mengolahnya dalam bentuk storytelling dengan gaya penceritaan sendiri.

Kawan-kawan,

Bayangkan seorang lelaki miskin yang hanya mempunyai sebilah kapak yang digunakan untuk mencari rezeki pun disoal dengan bermacam-macam pertanyaan, inikan pula kita yang memiliki harta yang lebih banyak dari itu. Bagaimana pula tahap pertanyaan kita di dalam kubur?

Seram bukan?

Saya teringat kata-kata seorang ustaz. Beliau menyatakan, “Harta yang halal akan dihisab. Harta yang haram akan diazab.”

Kemudian beliau menyambung,

Jikalau seseorang itu mencari harta kekayaan untuk dimanfaatkan kepada orang lain yakni dengan tujuan bersedekah dan berinfaq, maka dia akan kembali bertemu Allah di akhirat dengan wajah berseri-seri lagi bercahaya!

Oleh itu, carilah kekayaan secara halal dan gunakan ia ke jalan yang Allah redhai.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *