Kisah Hujan Turun Kerana Taubat Seorang Pendosa Yang Bermaksiat Selama 40 Tahun
Unsplash.com

Pada zaman Nabi Musa a.s, telah berlaku musim kemarau panjang. Baginda a.s bersama 70,000 orang umatnya telah melakukan solat istisqa’ iaitu solat memohon agar Allah menurunkan hujan.

Tetapi hujan tetap tidak turun.

Seperti yang kita ketahui, Nabi Musa a.s digelar ‘kalimullah’ kerana boleh berbicara secara terus dengan Allah.

Baginda a.s berbicara dengan Allah, “Ya Rabb, Engkau selalu memperkenankan doaku.”

Lalu Allah menjawab, dalam kalangan kalian itu ada seseorang yang bermaksiat kepada-Ku selama 40 tahun tanpa pernah bertaubat.

Mendengarkan itu, Baginda a.s terus bertanya kepada umatnya,

“Siapakah antara kalian yang bermaksiat selama 40 tahun kepada Allah dan tidak pernah bertaubat?

Diminta tinggalkan tempat ini kerana hujan tidak turun kerana dosa orang ini.”

Orang tersebut berasa bersalah kerana menjadi sebab hujan tidak turun.

Maka, pendosa itu berbisik di dalam hatinya, jika dia bangun meninggalkan tempat itu maka terbukalah aib dirinya yang tersembunyi selama 40 tahun di depan khalayak ramai.

Lalu dia pun bermohon agar Allah mengampunkan segala dosa-dosanya dan menyesal di atas maksiatnya itu.

Tidak lama selepas itu, hujan pun mulai turun.

Nabi Musa a.s kehairanan.

Tiada sesiapa yang mengaku berbuat dosa selama 40 tahun dan tiada pula orang yang meninggalkan tempat ini, tetapi Allah menurunkan hujan.

Lalu Baginda a.s bertanya kepada Allah, “Mengapa Engkau menurunkan hujan wahai Allah?”

Lalu, Allah menjawab orang tersebut telah bertaubat.

Baginda a.s bertanya kepada Allah, “Bolehkah aku ingin tahu siapakah gerangannya?”

Allah menjawab, “Selama 40 tahun Aku tidak pernah membuka aibnya, adakah Aku akan membuka aibnya setelah dia bertaubat kepada-Ku?”

Jika perbuatan dosa seseorang boleh membinasakan sesuatu kaum, maka taubat yang dilakukan oleh seseorang itu juga dapat menyelamatkan sesuatu kaum.

Begitulah Maha Pengasih dan Maha Pengampunnya Allah Ta’ala.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *