Seorang anak yang sudah menginjak awal remaja bertanya kepada ayahnya yang sudah tua.

Wahai ayahanda, berapakah nilai hidup saya?

Ayahnya melihat anaknya itu seketika. Dia menunjukkan tangannya ke arah satu bekas,

Kamu ambil batu itu dan bawa batu itu ke pasar. Apabila orang bertanya berapa harga batu itu, kamu hanya menunjukkan isyarat dua jari pada tangan kamu. Jangan berkata apa-apa.

Lalu anak itu membawa batu itu ke pasar. Dia menghamparkan kain dan meletakkan batu itu di atasnya. Seorang wanita datang menegur.

Berapakah harga batu ini wahai anak muda?

Anak itu memberi isyarat dua jari. Wanita itu berkata,

Saya sanggup beli batu ini dengan harga dua ringgit.

Anak itu pulang dan memberitahu ayahnya bahawa ada orang mahu membeli batu itu dengan nilai harga dua ringgit.

Ayahnya berkata,

Esok kamu bawa pula batu itu ke muzium. Apabila mereka bertanya, berikan isyarat dua jari.

Esoknya anak itu menuju ke muzium. Dia bertemu seorang pegawai di muzium. Anak itu itu menunjukkan batu itu kepada pegawai muzium. Pegawai itu berkata,

Batu ini mempunyai nilai sejarah. Berapa harga batu ini jika kamu mahu menjualnya?

Anak itu menunjukkan isyarat dua jari.

Pihak muzium sanggup membelinya dengan harga dua ribu ringgit.

Anak itu pulang ke rumah dan memberitahu ayahnya bahawa pihak muzium mahu membeli batu itu dengan harga dua ribu ringgit.

Ayahnya berkata,

Esok, kamu bawa batu itu ke satu kedai batu permata yang menjual pelbagai batu yang mahal. Apabila orang bertanya tentang harganya, kamu tunjukkan isyarat dua jari.

Esoknya, anak itu membawa batu itu kedai batu permata yang menjual pelbagai jenis batu yang mahal. Apabila ditunjukkan batu itu. Pemilik kedai batu permata itu berkata,

Ini batu yang sukar ditemui, ia mempunyai nilai yang sangat tinggi. Berapakah harga batu ini jika kamu sudi menjualnya kepada saya?

Anak itu menunjukkan isyarat dua jari.

Saya sanggup membeli batu ini dengan harga dua ratus ribu ringgit.

Anak itu berlari sekuatnya pulang ke rumah. Dalam keadaan kaget dia berkata kepada ayahnya,

Wahai ayahanda, pemilik kedai batu permata itu mahu membeli batu itu dengan harga dua ratus ribu ringgit. Apakah maksud di sebalik apa yang berlaku ini wahai ayahanda?

Kisah Bapa Mengajar Anaknya Nilai Sebiji Batu Dengan Nilai Sebuah Kehidupan

Ayahnya berkata,

Anakanda, hidup kita ini dinilai daripada siapa yang melihat diri kita. Apabila kita berada dalam lingkungan orang yang tidak memandang kelebihan diri kita, nilai hidup kita ini dipandang hina serendah dua ringgit.

Apabila hidup kita ini berada dalam lingkungan orang yang melihat kita sebagai orang yang mulia dan mempunyai potensi yang besar, maka nilai hidup kita akan dipandang tinggi dan mulia. Terserah kepada kita untuk berada dalam lingkungan yang mana. Kita berhak memilih untuk berada dalam kalangan orang yang mulia atau orang yang hina.

(Tuan Ahmad Saifuddin Yusof)

Kredit Foto : Turnbullagency.com

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *